” Jiha, nanti datang rumah mak. Kemas, bersihkan rumah sikit. Ramai nak balik raya ni” tutur Mak Leha di hujung talian.

” Insya Allah Mak. Hujung minggu nanti orang datang” jawab Jiha lemah.

Sepatutnya hujung minggu nanti dia mahu pergi membeli belah sedikit keperluan hari raya memandangkan suaminya baru mendapat bonus.

Tapi tidak berani Jiha membantah arahan ibunya.

Itulah rutin di atas bahu setiap kali ada adik beradik mahu pulang ke kampung.

Terutamanya menjelang hari raya. Bertambah-tambah kerjanya. Namun tidak pernah Jiha bersuara.

Kadangkala timbul juga persoalan di hati, mengapa tidak pernah sekalipun kakaknya yang tinggal di pekan disuruh melakukan hal yang sama.

Padahal anak-anaknya semua sudah besar-besar.

Lagipula tidak pernah Jiha beraya bersama adik beradiknya selepas berkahwin kerana suaminya mengajak pulang ke rumah ibu bapanya yang tinggal di negeri bersebelahan.

Jiha turutkan saja kerana alasan suaminya mereka sudah tinggal di tempat yang sama, selalu berjumpa.

Jadi apa salahnya beraya dengan keluarga Amir pula.

Bukan tidak ada adik beradik yang pulang awal sebelum hari raya.

Tapi ibunya tetap menyuruh Jiha melakukan semua kerja-kerja yang perlu.

Lagi awal adik beradiknya memberitahu mahu pulang, maka perlu lebih awallah bagi Jiha menyiapkan keperluan mereka.

Iaitu sebelum mereka tiba di kampung. Ibunya mahu semua kelihatan sempurna untuk anak-anak yang tinggal di perantauan.

Namun Jiha memujuk hati. Anggaplah semua itu sebagai sumbangan sebelum dia ke rumah ibu mertuanya.

Kadangkala ada baiknya dia beraya di rumah mertua .

Bukan saja penat tubuhnya dikerah tenaga, malah penat jua jiwanya dengan layanan ibu dan adik beradik.

Maklumlah dia tinggal di kampung, bergaji kecil sahaja.

Suaminya pula pegawai rendah di sebuah jabatan kerajaan.

Apalah sangat yang hendak dibanggakan.

================
Hari minggu pun tiba. Awal pagi telah Jiha sampai di rumah ibunya yang berjarak kira-kira 10 kilometer dari tempat tinggalnya .

Jiha mengemas di bilik tingkat atas dan bawah. Tidak ketinggalan ruang tamu yang sedikit berhabuk.

Sementara suaminya Amir membersihkan sekitar halaman dan belakang rumah.

Tiba waktu tengahari Jiha meminta diri. Selesai juga dia menyapu habuk serta sawang di bilik-bilik yang jarang digunakan.

” Langsir bila nak tukar?” Tanya Mak Leha apabila Jiha mahu pamit.

Dia bercadang mahu ke pekan pula selepas selesai urusan di rumah ibunya.

” Semua orang dah buat Mak. Nanti dorang balik mak mintak lah tolong cucu-cucu Mak yang dah besar tu” jawab Jiha sedikit mengah.

” Emm…” Balas Mak Leha menjeling dengan ekor mata.

===================

” Jiha. Mak dah beli daging dengan ayam ni. Nanti datang masak rendang” ucap Mak Leha lewat panggilan ke talian Jiha pada satu pagi.

” Mak, kan orang dah cakap. Nak balik pagi ni ke rumah Mak mertua orang ” balas Jiha dengan suara berbaur resah.

” Alah. Lepas siap, kau balik lah. Susah sangat ke nak tolong Mak ni? ” Kata Mak Leha dengan suara sedikit tinggi.

Tanpa menunggu jawapan anaknya, Mak Leha mematikan talian.

Hampir menangis Jiha di hujung talian. Serba salah dibuatnya.

Tiba di perkarangan rumah ibunya, Jiha lihat kereta adik bongsunya sedia diparkir di situ.

Lega hatinya. Bolehlah Julia membantu dia di dapur. Pasti kerja menjadi mudah dan cepat.

” Assalamualaikum” Salam diberi lalu melangkah masuk ke dalam rumah yang tidak ditutup pintunya.

Melingas matanya mencari kelibat Julia. Tidak pula kelihatan di ruang tamu.

Lantas Jiha masuk ke dapur mahu segera menyiapkan hidangan yang dipinta Mak Leha.

Kedengaran deburan air di bilik air. Pasti ibu atau adiknya sedang mandi.

Terletak elok satu plastik daging dan beberapa ekor ayam di atas meja menunggu untuk dijadikan hidangan.

Sedang Jiha memotong daging, keluar ibunya dari bilik air.

” Mak, mana Julia? Nampak kereta ada tu ” Tanya Jiha. Tidak lepas matanya daripada daging dan pisau yang ada di tangan.

” Kat bilik . Tidur.” Jawab Mak Leha pendek.

” Panggilah dia tolong. Cepat sikit siap ni” kata Jiha .

” Nanti daging kau buat rendang. Ayam tu apa-apa lah yang tak pedas untuk budak-budak ” arah Mak Leha tanpa mengendahkan saranan Jiha.

Sedikit sebal di hati Jiha. Entah pukul berapa dia boleh siap memasak.

Bimbang juga andai suaminya merungut. Tadi pun diam sahaja semasa meminta izin mahu ke rumah ibunya.

Siap memotong daging, Jiha ke bilik adiknya.

” Ju. Ju. Tolong akak kejap” panggil Jiha. Diketuk pintu beberapa kali.

” Penat tu. Baru sampai malam tadi. Tak payah lah kacau ” kata Mak Leha yang baru keluar dari bilik sebelah.

Terguris sedikit perasaan Jiha. Mengapa Mak boleh faham keadaan orang lain? Tapi tidak aku?

” Dia dah ke pasar belikan ayam bagai. Kau lah pulak yang masak” ujar Mak Leha

Dengan langkah longlai Jiha membawa hati ke dapur semula.

Menitis juga airmata ketika bersendirian di dapur.

Melihat daging yang banyak, pasti mengambil masa yang lama mahu disiapkan.

Lantas Jiha menghantar pesanan wasap kepada suaminya.

Diminta Amir datang menghantar periuk tekanan tinggi ke rumah Mak Leha.

Sampai saja suaminya, terus diletak semua bahan-bahan masakan ke dalam periuk dan dipilh akan mode yang dikehendaki.

” Mak. Orang dah letak semua dalam periuk tu. Nanti dah siap, periuk tu berbunyilah. Mak tak payah buat apa pun” pesan Jiha pada ibunya.

” Sedap ke masak dengan periuk tu? Tak sama macam kita masak atas dapur” rungut Mak Leha menjuih bibir.

Mak Leha meninjau ruangan dapur. Matanya mencerlung ke arah ayam mentah yang tidak berusik.

” Ayam tu, apa cerita ?” Soal Mak Leha dengan muka kelat.

” Orang dah lambat Mak. Sebenarnya dah janji dengan Mak Amir nak buka puasa sama-sama hari ni” jawab Jihan serba salah.

” Mak dia kau lebihkan. Habis Mak kau ni…?” Balas Mak Leha dengan wajah yang masam.

” Jiha. Cepatlah. Kita dah lambat ni” laung Amir dari dalam kereta.

Sungguh Jiha tersepit. Saat itu dia merasakan tidak ada orang yang mahu memahami akan dirinya.

” Nak makan apa lah aku buka puasa nanti. Ada anak, tak boleh harap” kata Mak Leha menambah gusar di hati Jiha.

” Orang minta maaf banyak-banyak Mak. Orang dah nak kena pergi ni. Rendang daging tu kan ada. Nanti bolehlah buat buka puasa” pujuk Jiha dengan mata bergenang.

Ditarik tangan yang digenggam Jiha yang mahu bersalam.

” Mak . Janganlah macam ni. Jauh orang nak pergi ni. Minta ampun mak dari hujung rambut sampai hujung kaki Mak”.ucap Jiha lalu mengucup jari jemari ibunya.

Sepatah kata tidak Mak Leha membalas ucapan anaknya.

” Nanti Mak suruhlah Julia masak nasi ya” pujuk Jihan mengambil hati Mak Leha.

” Dah lah. Pergilah rumah Mak mertua kesayangan kau tu. Tak payah balik terus pun tak apa. Ada pun bukan menyenangkan aku” kata Mak Leha dengan nada yang tinggi.

Sebak Jiha mendengar kata-kata yang terluncur dari mulut Mak Leha.

Begitulah sikap ibunya bila ada anak-anak yang lain balik.

” Pergi dulu Mak. Mintak maaf banyak-banyak” ucap Jiha lagi dengan perasaan sayu.

” Kita gerak terus ya. Abang dah bawak semua beg baju tadi ” kata Amir sebaik Jiha membawa tubuh masuk ke dalam kereta.

Jiha hanya mampu mengangguk.

” Bang laju sangat ni. Seriau saya” tegur Jiha saat melihat meter kereta.

” Kereta tak banyak takpe. Lagipun dah banyak kali Mak call tadi tanya nak sampai pukul berapa ” balas Amir fokus memandang ke depan.

” Alah. Baru teringat. Lupa nak bagi duit raya Mak tadi” rungut Jiha saat membelek ke dalam beg tangan.

” Lepas raya je la. Tak pun transfer aje” kata Amir.

” Tutt.. Tutt…” Bergetar telefon Amir tatkala ada panggilan masuk.

Teraba-raba Amir mencari telefon bimbit. Sedang mahu menyeluk poket seluar, terjatuh telefon tersebut.

Melihat Amir mencari sesuatu, Jiha menegur.

” Abang cari apa?” Tanya Jiha.

Panjang tangan Amir cuba mencapai peranti komunikasi di atas lantai kereta.

Pasti ibunya menelefon mahukan kepastian tentang keberadaan mereka.

” Abang!!!!!!” Panjang jeritan Jiha.

=====================
” Ju. Ju. Bangun cepat. Dah nak berbuka ni” panggil Mak Leha sambil mengetuk pintu bilik.

Membebel Mak Leha menahan rasa sakit hati.
Entah apa mahu dihidang pada cucu-cucunya.

” Mak. Mak..” telinga Mak Leha menangkap satu suara memanggil dari dapur.

” Bila masa budak ni ke dapur? Tak perasan pulak aku” bebel Mak Leha membawa langkah ke dapur.

Sunyi sepi.Tiada sesiapa di dapur. Tiba-tiba naik bulu romanya.

” Hish” Mak Leha menggosok kedua bahunya.

Dipetik suis lampu satu lagi bagi menghilangkan rasa tidak enak.

” Hai Mak. Habis dipasang semua lampu. Kita kan dua orang je” ucap Julia yang baru keluar dari bilik.

” Mak kau terang tang tang. Terkejut lah aku. Kau ni main sergah-sergah aje” marah Mak Leha yang sedikit terperanjat.

” Kita dua je mak malam ni. Apa nak terkejut sangat” balas Julia sedikit tergelak.

Baru mahu membalas kata-kata anaknya, azan Maghrib kedengaran.

Julia menjeling hidangan di atas meja. Cuma ada rendang daging dengan sedikit ulam-ulaman.

” Ni je ke ada Mak nak buat buka puasa ?” Cebik Julia.

” Habis kakak kau tak menyempat nak balik rumah Mak mertua dia. Ditinggal Mak sendiri kebulur takde apa nak makan. Sibuk dikisah Mak mertua dia tu” sakit hati Mak Leha mengenang sikap Jiha.

Julia melabuh punggung. Entah apa Mak Leha tidak puas hati dengan kakaknya.

Sedangkan dia lihat Jiha adalah anak yang sangat taat pada ibunya.

Susahlah mahu mendengar kakaknya berkata tidak pada setiap arahan ibu mereka.

” Kak Jiha ke masak ni Mak? Sedap. Patutlah Mak mertua dia sayang” puji Julia menyuap daging ke mulut.

” Mana kau tahu Mak mertua dia sayang? ” Cebik Mak Leha.

” Tu ayam yang kau beli, tak berusik. Dah siap potong pun, tinggal masak aje. Apa susah” bebel Mak Leha.

” Kejap lagi, sampai lah semua orang ni. Nak makan apa cucu-cucu Mak? budak-budak mana makan daging” rungut Mak Leha lagi.

” Langsir, apa semua tak ditukar lagi. Mak dah mintak tolong lama dah. Ya lah. Sayang lebih Mak mertua dari Mak sendiri. Menyampah aku” sambung Mak Leha lagi.

Angin sejuk menjamah leher Mak Leha. Tegak bulu tengkuknya.

Mak Leha menoleh ke belakang. Elok saja bertutup tingkap dapur. Malah pintu juga telah dirapatkan.

Mana datang anginnya, bisik hati Mak Leha.

” Nanti kau cari suami yang boleh ikut cakap kau. Jangan jadi macam kakak kau tu. Macam lembu kena cucuk hidung. Ikut aje kata si Amir tu. Heran aku” omel Mak Leha lagi.

” Orang dah kenyang” kata Julia mengangkat pinggan ke singki.

” Sikit kau makan. Takkan dah kenyang” ucap Mak Leha.

” Orang ratah daging banyak. Tu cepat penuh” balas Julia mengosok-gosok perut yang tak berapa nak ada.

Tak nak dengar aku membebel lah tu, rungut hati Mak Leha.

” Mak. Mak…” Laju Mak Leha menoleh ke arah tingkap.

Julia sudah meninggalkan ruang dapur. Siapa pula yang memanggil? Bisik hati Mak Leha.

” Ada yang dah sampai ke Ju?” Jerit Mak Leha pada anaknya.

Tiada jawapan. Mungkin Julia tidak dengar kerana menutup pintu bilik.

Selesai mencuci tangan, Mak Leha ke ruang depan. Mengintai-intai di sebalik tingkap nako kalau-kalau ada anak-anak yang sudah tiba.

” Pon! Pon!” Sebuah motorsikal masuk ke halaman rumah.

” Opocot. Setan kau” latah Mak Leha yang terkejut.

” Assalamualaikum. Mak Leha. Mak Leha” Farid memberi salam tanpa turun dari kenderaan.

” Waalaikumussalam.” jawab Mak Leha lalu membuka pintu.

” Ni ada ketupat. Kak Jiha oder untuk Mak Leha ” jawab Farid menghulur satu plastik besar .

” Berapa ni?” Tanya Mak Leha.

” Kak Jiha dah bayar. Selamat Hari Raya Mak Leha. Saya gerak dulu” balas Farid mengundurkan motorsikal dan berlalu.

” Mak… Mak” bisikan halus itu terdengar lagi.

Tanpa menoleh kiri kanan, cepat-cepat Mak Leha masuk ke rumah dan merapatkan pintu.

” Ju. Ju. Kau kat mana?” Jerit Mak Leha bagi mengurangkan rasa seram yang tidak semena-mena.

Terhenti langkah Mak Leha. Kedengaran derapan tapak kaki di tingkat atas.

” Mak. Langsir mana?” Tanya satu suara dari ruang atas tersebut.

” Nasib baiklah ada yang boleh diharap” kata Mak Leha lantas menjenguk sedikit daripada anak tangga.

Plastik berisi ketupat di letak di atas meja yang terletak di sisi tangga kayu.

” Dah kenapa tak bukak lampu?” Tanya Mak Leha melihat ruang atas yang gelap gelita.

Dipanjat tangga ke tingkat atas yang jarang digunakan.

Lalu dipetik suis yang terletak berhampiran sebaik sampai di ruang itu.

” Mana pulak budak ni?” Rungut Mak Leha tercari-cari anaknya.

” Kau kat bilik ke Ju? ” Jerit Mak Leha menuju ke salah satu bilik yang ada di situ.

” Ya . Nape Mak?” Kedengaran suara Julia dari tingkat bawah.

” Kat mana kau ?” Tanya Mak Leha lagi.

” Mak… Mak…” Satu bisikan kedengaran.

” Mak nak pasang langsir ye?” Tanya suara halus itu.

” Panggil orang ke Mak?” Sergah Julia yang entah bila naik ke ruang atas .

” Woi. Setan kau” Jerit Mak Leha terkejut.

” Tak habis-habis terkejut Mak ni” kata Julia terkekek -kekek.

” Kau jangan nak mengusik aku. Pergi cari langsir dalam bilik sana. Kalau rajin, kau tukar langsir. Kalau tak, tunggu aje bini abang Ngah kau sampai. Suruh dia buat. Itulah gunanya menantu ” arah Mak Leha.

” Nanti kau cari suami yang boleh ikut cakap kau. Jangan jadi macam kakak kau tu. Macam lembu kena cucuk hidung. Ikut aje kata si Amir tu. Heran aku” omel Mak Leha lagi.

” Tak baik cakap macam tu. Mak patut bersyukur dapat anak macam Kak Jiha. Patuh pada Mak, pada suami” nasihat Julia.

” Eh. Berapa sebulan Jiha tu bayar kau yang nak bela sangat dia?” Radang Mak Leha mendengar Julia memuji Jiha.

” Hmm. Tunggu Kak Ngah sampai nantilah. Malas lah nak sorang-sorang kat atas ni ” jawab Julia menapak turun.

Alasan saja sebenarnya. Julia malas mahu mendengar ibunya mengata bukan-bukan terhadap kakaknya.

” Mak. Mak…” Termengah-mengah suara Julia dari bawah tiba-tiba.

Tanpa menjawab panggilan anaknya, Mak Leha turut menuju tangga.

Berderau darah Mak Leha melihat ada kelibat dari bilik berdekatan. Laju dia menuruni tangga.

” Mak. Ada orang call ni. Kak Jiha accident” kata Julia dengan wajah cemas.

” Kat mana accident? ” Tanya Mak Leha acuh tak acuh.

” Kat sempadan nak masuk kampung abang Amir dah” teresak-esak Julia menjawab.

” Tu la. Kata-kata dari mulut Mak ni makbul. Tak dengar cakap aku, tu lah dia” bebel Mak Leha seperti tidak terkesan dengan berita anaknya.

” Kakak kat kecemasan ” Julia mula menangis.

Rasa terkilan menerpa Julia. Kesal dia kerana tidak keluar semasa kakaknya memanggil agar menolong di dapur.

Jika tidak sempatlah dia bersua muka sebelum kakaknya berangkat ke rumah mertua.

” Tak payah nak sedih sangatlah. Bukan tak biasa Amir tu accident. Bawak kereta macam pelesit. Cuma tak mati aje” rungut Mak Leha.

” Mak! Apa cakap macam tu. Kesian Kak Jiha. Mak tak risau ke?” Tegur Julia kesal.

Bukan sekali dua menantunya Amir kemalangan jalanraya. Patah tulang rusuk pun pernah, bisik hati Mak Leha.

Jadi, bagi Mak Leha sedikitpun tidak dicuit kebimbangan andai diberitakan anak menantunya itu ditimpa kemalangan. Pasti baik-baik saja selepas itu.

Kedengaran beberapa buah kereta masuk ke halaman rumah. Pasti anak-anaknya yang lain sudah sampai.

Bergegas Mak Leha menuju pintu. Hilang sudah berita tentang Jiha .

Senyum lebar melihat anak sulungnya pulang dengan kereta menjalar.

Anak keduanya juga sampai serentak. Makin lebar bibir tersenyum kerana menantu keduanya boleh disuruh melakukan persiapan hari raya .

” Abang. Kak Jiha accident” tersedu-sedu Julia menyampaikan berita sedih tersebut.

” Eh. Engkau ni tak menyempat. Biarlah dorang masuk dulu” sampuk Mak Leha kurang senang.

” Betul ke Mak? Kat mana ” Tanya Zaki anak sulungnya.

Julia sudah tidak dapat menahan rasa sedih. Dia menangis teresak-esak di bahu Yati kakak iparnya.

” Esok-esok aje lah pergi tengok. Dah malam ni. Belum tentu boleh masuk” ujar Mak Leha.

Lain pula dengan Julia. Tidak dapat ditahan rasa mahu melihat sendiri keadaan kakaknya.

” Abang Ngah. Jom kita pergi tengok Kak Jiha ” pinta Julia pada Zaid.

Serba salah Zaid dengan permintaan adiknya.

Takkanlah dia mahu meninggalkan isterinya seorang diri melakukan persiapan raya seperti kelaziman saban tahun.

Dia bertekad tahun ini mahu membantu Yati kerana itu syarat pulang beraya di kampung sebelah Zaid.

” Dah masuk. Esok aje pergi tengok Jiha” arah Mak Leha menapak masuk.

Kalau diikut hati mahu saja Julia pergi sendiri ke hospital yang menempatkan kakaknya.

Tapi mengenangkan jarak dan waktu, dia terpaksa merayu pada abangnya.

” Julia, masuk. Elok sangat menangis malam-malam raya kat luar macam tu” Mak Leha memanggil anaknya.

Masuk ke bilik, Julia mendail nombor Jiha. Berulang kali Julia mencuba. Namun tidak dapat disambungkan.

Dicuba mencari pula nombor telefon Amir. Pun tidak dapat dihubungi.

Julia memarahi diri sendiri. Kenapalah tidak disimpan nombor telefon adik beradik atau sekurangnya nombor telefon ibu mertua Jiha.

Timbul pula persoalan adakah keluarga Amir mengetahui akan keadaan abang iparnya?

Akhirnya terlena Julia menunggu kalau-kalau pemanggil yang menghubungi sebelumnya ada menelefon semula.

Mak Leha pula kepenatan melayan cucu-cucunya. Letak saja kepala terus dia terlena.

” Mak. Ayam tu nak masak apa eh?” Kedengaran satu suara halus di telinga.

Mak Leha mencelik mata. Ditoleh ke kiri, Julia sedang tidur di sebelah dengan telefon di tangan.

” Mengigau agaknya budak ni” bisik hati Mak Leha menjeling pada anaknya.

” Langsir nak pasang yang mana? Warna apa ye Mak?” Datang satu suara ketika baru saja Mak Leha mahu terlelap semula.

” Yati! Husna” Jerit Mak Leha memanggil nama kedua menantunya.

Mungkin mereka masih belum tidur kerana masih ada kerja-kerja yang perlu diselesaikan.

Terjaga Julia mendengar suara ibunya.

” Mak. Nape ni? ” Tanya Julia

” Eh. Entah. Mak mengigau ke apa hah?” Tanya Mak Leha kembali .

” Tidur lah. Mak penat agaknya” pujuk Julia merebah semula tubuh ke tempat tidur.

Terkebil-kebil mata Mak Leha memandang syiling rumah.

Terasa keras pula matanya mahu melayar malam.

” Kleting!” Bunyi penutup periuk jatuh ke lantai.

” Allah. Tikus ke? Takkan si Esah selongkar dapur pulak?” Bebel Mak Leha bangun dari katil lalu menuju ke dapur.

Suis lampu dapur dipetik. Mak Leha nampak tudung periuk tertangkup di atas lantai.

Sah. Si Esah, kucingnya masuk ke dapur . Mencari makan mungkin, omel hati Mak Leha.

” Hah! Terkejut aku. Apa kau buat dalam gelap ni?” Soal Mak Leha yang terperanjat melihat satu susuk tubuh sedang berdiri di depan periuk rendang dengan kain langsir tersangkut di bahu.

Mak Leha yakin, itu pasti Yati menantunya yang selalu dikerah membuat kerja.

” Tak tidur lagi Yati?” Tanya Mak Leha yang merasa sedikit pelik dengan tingkah menantunya.

” Mak! Mak ! Kak Jiha dah takde” raung Julia di ruang depan memecah hening malam.

Susuk di depan Mak Leha berpaling sambil tersenyum. Wajahnya pucat lesi.

Jatuh tubuh tua Mak Leha di lantai dapur. Mulutnya terkunci.

Selesai talkin dibacakan, semua orang mula beredar.

Tinggal ahli keluarga Jiha saja. Berteleku Mak Leha di situ.

Kosong pandangan si ibu melihat pusara anak yang setia patuh setiap perintah arahannya.

Siapa lagi yang akan menurut setiap suruhannya. Dialah anak yang tak pernah menolak, sayu Mak Leha mengenangkan.

” Mak. Kita balik jom. Hari dah makin tinggi. Panas ni” , ajak Julia lembut.

Tanpa membalas , Mak Leha cuba bangun.

” Allah! ” jerit Mak Leha.

Kakinya terbenam ke dalam pasir di tempat dia bertimpuh.

Padahal duduknya beralas tikar. Terasa lembik bagai tidak bertulang kakinya saat mahu berdiri.

” Mak. Hati -hati Mak” kata Zaki cuba mengangkat tubuh Mak Leha.

” Jiha marah Mak ke Zaki ?” Tanya Mak Leha lemah.

Zaki membuang pandang. Cuba menahan airmata dari jatuh di depan ibunya.

” Banyakkan kita sedekahkan Al Fatihah untuk arwah ye Mak ” pujuk Zaki.

Sebelum kereta bergerak meninggalkan tanah perkuburan, Mak Leha menoleh ke belakang.

Dia mahu memandang tempat persemadian anaknya sebelum pulang.

Terbeliak matanya melihat Jiha berdiri tegak di tepi pusara sambil merenung tepat ke arah Mak Leha.

” Berhenti. Berhenti. Jiha…tu Jiha ” kata Mak Leha menunjuk-nunjuk ke arah belakang kereta.

” Ish. Meremang la Mak ni. Jangan main-main kawasan kubur ni” marah Husna menantu kesayangan Mak Leha.

Zaki memandang cermin pandang belakang. Dia tidak melihat satu pun kelibat manusia.
Pasti ibunya terlalu rindukan Jiha.

” Istighfar Mak. Redhakan dia pergi” pujuk Zaki sedikit sebak.

” Adik kau Zaki. Marilah kita tengok sekejap” rayu Mak Leha.

Sakit hati Husna. Sudah seperti orang tua nyanyuk ibu mertuanya.

” Dah. Pandang depan Mak. Tak de apa pun. Perasaan Mak aje tu” marah Husna lagi sekali.

” Jiha anak Mak. Huhuhu ” esak Mak Leha bagai anak kecil.

Mencebik Husna dengan tingkah ibu mertuanya. Mengapalah tidak naik kereta Julia saja.

=====================================

Berhari-hari juga Mak Leha sugul. Makan minum tidak dihirau.

Setiap malam termimpikan Jiha datang menggendong bayi kecil dengan wajah berseri-seri.

” Jiha anak Mak” ucap Mak Leha di dalam tidur.

Bertambah-tambah kesedihan Julia yang setiap malam menemani tidur Mak Leha.

Siapa tidak sedih, dialah anak Mak Leha yang paling patuh.

Jangankan kata ibu, setiap arahan atau permintaan adik-beradik pun tidak dia menolak.

==================================

Terngiang-ngiang masih di telinga rintihan kemaafaan dari bibir mungil Jiha sebelum berangkat pergi.

Patutlah dia asyik kata nak pergi jauh. Mengapalah sikitpun aku tak tertangkap maksudnya. Kesal bertandang di hati Mak Leha setiap kali teringatkan ucapan Jiha.

Maafkan Mak Nak. Mak tak maksudkan apa-apa. Tuhan, maafkan aku. Begitulah rintihan kalbu Mak Leha setiap kali terkenang anaknya yang takkan kembali lagi menemani .

Terimbas jua di ingatan, Jiha tidak seperti anak yang lain.

Sejak kecil agak perlahan dalam segala hal.
Pembelajarannya tidak memberangsangkan seperti anak-anak yang lain.

Jiha satu-satunya anak yang tidak layak ke sekolah berprestij.

Malah tamat saja sekolah menengah terus bekerja kerana keputusan sekolah menengah tidak begitu cemerlang.

Malu Mak Leha dengan orang sekeliling. Maklumlah selama ini dia selalu dipuji kerana anak-anaknya pandai-pandai belaka.

Maka jadilah Jiha tidak ubah seperti budak suruhan saja.

Makin bertambah rasa sakit hati Mak Leha bila Jiha mahu berkahwin dengan Amir, pemuda yang pada anggapan Mak Leha tiada masa depan.

Namun Mak Leha turutkan saja kerana baginya memang padanlah mereka berdua, sama -sama tidak berpelajaran.

Sangka Mak Leha jodoh mereka tidak panjang kerana masing-masing berpendapatan rendah.

Tidak dikurniakan cahaya mata pula walau telah beberapa tahun mendirikan rumahtangga.

Pasti hal itu menjadi isu. Tapi rupanya mereka dijodohkan Allah kerana saling melengkapi. Saling menerima keadaan masing-masing.

Malah Amir dan Jiha memang anak yang taat. Bukan saja pada ibu bapa malah terhadap mertua juga.

Benar-benar Mak Leha kesal mengukur anak-anak dari luaran dan material semata.

” Mak tak sedar selama ni, anak yang tak pandai, yang tak bergaji besar tu lah jaga Mak. Mak malu. Kesal ” rintih Mak Leha di bahu Julia.

Tiba hari raya keempat, anak-anak Mak Leha beransur pulang.

Sempat mereka mengadakan majlis tahlil.

Tinggal Julia yang masih menyambung cuti. Sungguh dia terkilan dengan pemergian Jiha.

Lebih memilukan, Jiha dikhabarkan sedang berbadan dua.

Sugul wajah Mak Leha. Selepas ini tidak akan ada lagi anak yang boleh diarah itu ini.
Tinggallah nanti dia seorang diri di kampung.

Jannah , anaknya yang tinggal di pekan tidak betah dengannya.

Dia tidak suka diarah dan dikawal. Selalu saja mereka bergaduh mulut.

Jadi, tidak mungkin dia boleh menumpang kasih . Langsung tidak sama dengan Jiha.

====================================

” Sreet. Sreet….” Kedengaran daun-daun kering sedang di sapu di belakang rumah.

” Amir. Nanti kau…” terputus di situ suaranya.

Terjentik di ingatan, menantunya turut serta menyahut panggilan Ilahi selang beberapa hari selepas pemergian Jiha.

Siapa pula menyambung tugas Amir? Itulah satu-satunya menantu lelaki yang tidak pernah jemu membantu menjaga kebersihan dan merapi halaman rumah tanpa perlu disuruh.

Saban minggu pasti datang membersih segala sampah sarap dan dedaunan kering dari pokok buah-buahan di sekitar rumah.

Malah sakit pening Mak Leha, dia lah yang membawa mendapatkan rawatan.

Tidak pernah Amir berkira walaupun dia tahu menantunya itu tidaklah bergaji sebesar mana.

Makin rancak pula daun kering diseret penyapu.

Mak Leha meneguk liur. Tidak berani dia menjengah ke belakang rumah.

” Ting” bunyi periuk tekanan tinggi berdenting di dapur.

” Rendang dah siap Mak” pekik satu suara di dapur.

Mahu ke dapur juga Mak Leha tidak berani. Dia melangkah ke ruang tamu.

Diselak langsir jendela nako. Terbeliak matanya melihat deretan langsir pelbagai warna di atas ampaian.

Terdengar pula derapan kaki di ruang atas.

” Langsir mana Mak?” Tanya suara wanita di tingkat atas.

” Tolong jangan ganggu Mak lagi. Korang dah mati” mohon Mak Leha sambil menangis.

Senyap sunyi selepas itu. Tiada lagi kedengaran bunyi daun kering disapu di belakang rumah.

Mak Leha hanya berkurung di bilik. Tidak berani mahu keluar hatta ke dapur sekalipun.

Andai dia masuk ke bilik air, pasti ada suara bertanya di sebalik dinding.

Malah setiap kali melintas ruang dapur untuk ke bilik mandi, rendang daging pasti terhidang bersilih ganti di dalam mangkuk yang berbeza.

Jika Mak Leha duduk di ruang tamu, terdengar pula derapan kaki dari tingkat atas.

========================================

Bergegas Julia pulang setelah menerima panggilan daripada ibunya.

Teresak-esak suara Mak Leha di hujung talian meminta agar segera dia pulang.

Mujurlah jarak tempat tinggal dengan kampung mengambil masa kira-kira 2,3 jam sahaja.

Berlari Mak Leha bila melihat Julia sampai. Belum sempat enjin dimatikan, Mak Leha menerpa masuk ke dalam kereta.

” Mak. Kenapa ni Mak?. Mak tak sihat ke ?” Tanya Julia gusar.

” Tolong Mak Ju. Mak tak tahan dah ” termengah-mengah suara Mak Leha.

Tanpa dipinta, Mak Leha menceritakan kejadian yang dialami sejak kematian Jiha.

Terdiam Julia mendengar cerita ibunya.

” Mak kena redha dengan pemergian dorang. Jangan simpan sedikit pun rasa terkilan Mak. Biar dorang tenang Mak. Kita doa yang baik-baik” pujuk Julia.

” Huhuhu huhuhu” Mak Leha menangis tidak ubah seperti anak kecil.

Dibiar saja oleh Julia akan ibunya melepas tangis.

Mungkin dengan cara begitu dapat Mak Leha melepaskan perasaan yang tidak diluah kepada sesiapa.

Malam itu Julia tidur bersendirian. Mak Leha pula di bilik sebelah.

” Jiha. Jiha. Tolong Mak kejap. Mak lenguhla” kedengaran suara di dapur.

Jam dinding dilirik. Waktu itu jam menunjukkan pukul 1 pagi.

Julia menyingkap selimut. Dia menyarung selipar tidur lalu mencari ibunya.

Dia yakin, mendengar suara dari dapur. Tapi ruang itu kelihatan gelap.

” Mak. Buat apa kat dapur ni?” Tanya Julia sebaik lampu dinyalakan.

” Tutup lampu tu. Nanti Jiha hilang” marah Mak Leha.

” Astaghfirullahalazim! Mengucap Mak” kata Julia menuju ke meja makan.

Dia lihat Mak Leha sedang menatap semangkuk lauk .

” Mak nak makan ke?” Tanya Julia pelik.

” Ni ha. Jiha hantar rendang. Dia suruh rasa” jawab Mak Leha.

Menangis Julia mendengar jawapan ibunya. Adakah ibunya merasa terkilan atau terlalu merindui kakaknya.

” Kakak dah takde Mak” tangis dua beranak itu di dalam kepekatan malam.

Esoknya Julia membawa ibunya pulang. Tidak mahu ibunya terus dihantui dengan bayangan kakak dan abang iparnya.

Mujurlah Mak Leha tenang saja semasa tinggal di rumah bujang Julia. Bimbang juga andai menganggu teman-teman serumah.

Setelah seminggu Mak Leha tidak lagi menyebut nama Jiha.

Lalu Julia menghantar ibunya pulang semula ke kampung.

” Mak. Mak kena maafkan Kak Jiha dan Abang Amir. Redha ya Mak. Dorang anak yang baik. Mak jangan simpan dendam dengan dorang. Mak juga jangan rasa bersalah. Ni semua ketentuan Allah” nasihat Julia pada ibunya sebelum berangkat semula ke bandar.

======================================

” Jiha. Angkat langsir. Dah kering tu kat ampai” laung Mak Leha bila melihat hari telah petang.

Menggeleng kepala Mak Gayah, iaitu jiran mereka. Dia melihat setiap hari langsir disidai pada ampaian.

Pernah juga Mak Gayah bertandang ke rumah Mak Leha.

Sedang asyik berbual, Mak Leha memanggil nama Jiha , diminta dibuatkan air untuk mereka.

Kadangkala Mak Leha dilihat bercakap seorang di halaman rumah sambil menunjuk-nunjuk ke arah longgokan sampah.

=========================================

” Jiha. Masak apa hari ni?” Tanya Mak Leha pada anaknya yang sedang tersenyum dengan wajah pucat di depan dapur.

Senang Mak Leha dengan sikap Jiha, satu-satunya anak yang paling mendengar kata.

TAMAT

Karya: Zezedeha Azizi